Kisah Nabi Allah Idris a.s.

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ

MAKAM NABI ALLAH IDRIS A.S

.

NABI ALLAH IDRIS AS 

Nabi Allah Idris a.s. (Arab إدريس , Alkitab: Henokh), hidup sekitar 4533 – 4188 SM adalah salah seorang rasul dan nabi yang pertama kali diberikan tugas untuk menyampaikan risalah dan membimbing manusia ke jalan yang benar. Nabi Idris a.s. diberikan hak kenabian oleh Allah SWT selepas Nabi Allah Adam a.s. dan Nabi Shiyth a.s.. 

Tidak banyak yang didapati dari dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah mengenai nabi-nabi, tentang kisah Nabi Allah Idris a.s..

.

.

IDRIS DALAM AL-QURAN

Kisah Nabi Allah Idris a.s. tidak banyak cerita dan keterangan di dalam Al-Quran. Namanya disebutkan hanya sebanyak 2 kali dalam Al-Quran. Baginda a.s. dinyatakan di dalam Al-Quran sebagai manusia yang dipilih oleh Allah SWT sehinggakan Baginda a.s. diangkat ke langit.

Di dalam Al-Quran hanya terdapat empat ayat tentang Nabi Idris a.s., dimana ayat-ayat tersebut saling berhubung-kait di dalam Surah Maryam (Maryam) dan Surah Al-Anbiya’ (Nabi-nabi).

Allah SWT berfirman:

19:56
19:57

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi. Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.” (Surah Maryam 19: Ayat 56-57)

21:85
21:86

“Dan (ingatlah kisah) Ismail, Idris dan Dzulkifli. Semua mereka termasuk orang-orang yang sabar. Kami telah memasukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh.”  (Surah Anbiya 21: Ayat 85-86)

.

ASAL USUL NAMA

Idris adalah nama Arab bagi ‘Akhnukh’, iaitu nama asal Baginda. Menurut sebuah buku The Prophet of God Enoch: Nabiyullah Idris, Idris ialah nama Arab bagi ‘Enoch’. Akan tetapi Az-Zam akhsyari menyatakan bahawa perkataan Idris bukan nama yang berasal dari Arab. Manakala di dalam kisah lain, Idris diberi nama ‘Hurmus al-Haramisah’. Di kalangan bangsa Ibrani pula, ia dikenali dengan nama ‘Khunuh’.

Sebenarnya nama Nabi Idris a.s. diambil dari kosa kata bahasa Arab, “darasa” yang mempunyai erti belajar. Ia dinamakan demikian kerana ia selalu mempelajari mushaf-mushaf Adam dan Shiyth, banyak sekali mempelajari ilmu dan dikatakan juga ia menjadi orang pertama yang menjahit pakaian dan mengenakan pakaian yang dijahit. Ia dianggap juga sebagai pencipta pertama tulisan dan beserta tulisnya.

Nabi Allah Idris a.s. juga digelar sebagai “Asadul Asad” (Singa dari segala singa) kerana semangat, keberanian dan kegagahan Baginda a.s.

.

.

SALASILAH

Nabi Allah Idris a.s. adalah keturunan keenam Nabi Adam, putera kepada Yarid.  Salasilah lengkapnya adalah seperti berikut, Idris bin Yarid bin Mahlail bin Qainan bin Anusy bin Syith bin Adam AS. Baginda juga adalah moyang kepada Nabi Nuh.

Nabi Idris a.s. adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi selepas Adam dan Syith. Menurut Ibnu Kathir dalam Qhisasul Anbiya’ mengatakan bahawa Nabi Idris a.s sempat bertemu dengan Nabi Adam. Ini menggambarkan bahawa enam generasi dapat bertemu diantara satu sama lain. Menurut kitab tafsir, Nabi Adam AS hidup 1,000 tahun setelah Adam wafat.

.

.

TEMPAT LAHIR

Dikatakan bahawa Nabi Allah Idris a.s. lahir dan tinggal di Babil, Iraq, untuk berdakwah kepada kaumnya yang bernama Bani Qabil dan Memphis. Manakala menurut beberapa kisah riwayat menyebutkan, Nabi Idris a.s. lahir di daerah Munaf, Mesir dan bermukim di negeri Mesir di mana Baginda a.s. berdakwah kepada pengikutnya.

.

.

SAHIFAH

Nabi Allah Idris a.s. seorang yang sangat tekun. Baginda a.s. belajar membaca dan menulis tanpa mengenal waktu dan tempat. Sejak kecil, Nabi Idris a.s. telah belajar agama dan pandai membaca Sahifah (lembaran tertulis) yang diajarkan oleh Nabi Syith, putra Nabi Adam a.s..

19:56

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (Al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imannya), serta ia seorang Nabi. ” (Surah Maryam 19: Ayat 56)

Nabi Idris a.s. menerima wahyu dari Allah SWT melalui malaikat Jibril sebanyak ’30 Sahifah’. Isi kandungannya adalah ajaran agama yang harus disampaikan Baginda a.s. kepada umat manusia.

.

KEPANDAIAN

Nabi Allah Idris a.s. sebagai ahli astronomi dan tukang jahit.dianugerahkan kepandaian dalam pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran serta kemampuan untuk mencipta alat-alat untuk mempermudah pekerjaan manusia. Dalam beberapa kisah dikatakan bahawa Nabi Idris a.s. sebagai nabi pertama yang memperkenalkan tulisan, menguasai pelbagai bahasa, ilmu matematik, ilmu alam, astronomi, menunggang kuda, menjahit pakaian dan lain-lain lagi.

Ibnu Abbas berkata, “Daud adalah seorang pembuat perisai, Adam seorang petani, Nuh seorang tukang kayu, Idris seorang penjahit dan Musa adalah penggembala.” (Dari al-Hakim)

.

.

DAKWAH

Nabi Allah Idris a.s. berdakwah kepada kaumnya dengan gigih, sehingga Baginda a.s. mendapat gelaran ‘Asad al-usud’, yang bermaksud Singa segala singa’.

Nabi Allah Idris a.s. adalah seorang yang jujur, dipercayai, dermawan dan mulia. Baginda a.s. berdakwah untuk agama Allah, mengajarkan tauhid dan beribadat menyembah Allah SWT serta memberi beberapa pendoman hidup bagi pengikut-pengikutnya supaya selamat dari seksa dunia dan akhirat. Nabi Idris a.s. diutus oleh Allah SWT untuk mengingatkan umat keturunan Kabil yang telah bersikap derhaka.

Menurut suatu kisah, terdapat suatu waktu di mana kebanyakan manusia telah melupakan Allah sehingga Allah SWT menghukum mereka dengan mendatangkan kemarau yang berpanjangan. Namun begitu, Nabi Idris a.s. telah mengangkat tangan dan memohon doa ke hadrat Allah SWT untuk mengakhiri hukuman tersebut. Allah SWT mengabulkan permohonan itu dan berakhirlah musim kemarau tersebut dengan turunnya hujan rahmat.

.

.

HIJRAH KE MESIR

Disebabkan sebahagian umatnya kufur, Nabi Allah Idris a.s. mengajak pengikutnya yang beriman meninggalkan negeri mereka. Awalnya mereka keberatan kerana khuatir negeri baru yang akan mereka duduki tersebut tidak sesubur negeri mereka. Namun Nabi Idris a.s. dapat meyakinkan umatnya yang beriman tersebut sehingga mereka mengikuti Idris hijrah ke Mesir.

.

.

SYAITAN MENGGODA

Suatu ketika Nabi Allah Idris a.s. pernah digoda oleh syaitan. Ketika itu Baginda a.s. sedang menjahit baju, tiba-tiba datang iblis dengan menyamar sebagai seorang lelaki. Iblis tersebut membawa sebutir telur. Ia memujuk Nabi Idris a.s. supaya meminta Tuhannya memasukkan dunia ke dalam telur. Permintaan tersebut bermaksud untuk membuat Nabi Idris a.s. panik. Namun, dengan tegas Nabi Idris a.s. menjawab bahawa Allah SWT tidak hanya mampu memasukkan dunia ke dalam telur, tetapi juga ke lubang jarum. Lalu dengan jarumnya, Baginda a.s. menusuk mata iblis sehingga iblis terus lari menghilangkan diri.

.

.

MALAIKAT IZRAIL KAGUM


Malaikat Izrail sangat mengagumi kepandaian Nabi Idris a.s.. Ia ingin mengenal Nabi Allah Idris a.s. lebih dekat. Dengan menyamar sebagai manusia, Dia pun pergi ke rumah Nabi Idris a.s.. Setelah berkenalan, Baginda a.s. mempersilakan tetamunya menginap di rumahnya.

Mereka lalu berdua beribadah dengan tekun. Baginda a.s. meminta tetamunya untuk menikmati semua yang ada di rumahnya, tapi Izrail menolak dan hanya ingin beribadah. Nabi Idris a.s. merasa hairan dan bertanya siapa sebenarnya tetamunya itu. Tetamu itu menjawab bahwa ia adalah Izrail, malaikat pencabut nyawa.

.

.

MELIHAT SURGA DAN NERAKA

Untuk memperkukuhkan keimanan Baginda a.s., Baginda a.s. meminta kepada Allah SWT agar diizinkan untuk melihat syurga dan neraka. Allah SWT memenuhi permohonan Nabi Idris a.s. tersebut. Bersama Izrail, Baginda a.s. mengunjungi neraka dan melihat api neraka yang berkobar serta berbagai seksaan di dalamnya. Kemudian Izrail membawanya ke syurga. Di sana Baginda a.s. bertemu dengan Malaikat Ridwan dan melihat nikmat yang diberikan Allah SWT untuk para penghuni syurga.

.

.

LANGIT KEEMPAT

Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris a.s. wafat ketika sedang berada di langit keempat ditemani oleh seorang malaikat. Nabi Allah Idris hidup sehingga usia Baginda a.s. 82 tahun.

Ketika Nabi Muhammad SAW melakukan Israk & Mikraj, Baginda a.s. bertemu dengan Nabi Idris di langit keenam. Ketika itu Baginda a.s. memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW.

Dalam sebuah hadis, Nabi Idris a.s. disebutkan sebagai orang pertama daripada nabi-nabi yang berberdailog dengan Nabi Muhammad SAW dalam salah satu syurga semasa Mi’raj.

Diriwayatkan dari Abbas bin Malik, Rasulullah SAW bersabda: “Gerbang telah terbuka, dan ketika aku pergi ke syurga keempat, di sana aku melihat Idris. Jibril berkata (kepadaku). ‘Ini adalah Idris; berilah dia salammu.’ Maka aku mengucapkan salam kepadanya dan ia mengucapkan salam kepadaku dan berkata. ‘Selamat datang, wahai saudaraku yang alim dan nabi yang soleh.” (Sahih Bukhari 5:58:227)

Satu kepercayaan yang tidak dipastikan kesahihannya mengatakan bahawa piramid telah dibina sebagai merujuk kepada Nabi Allah Idris a.s., kerana di kawasan itulah di mana Baginda a.s. diangkat ke langit.

.

.

والله أعلم بالصواب

Wallahu A’lam Bish Shawab

 (Hanya Allah Maha Mengetahui apa yang benar)

.

.

وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه

.

.

Categories: Nabi Allah Idris AS | Tags: , , , , , , , | Tinggalkan komen

Navigasi kiriman

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Blog di WordPress.com.

%d bloggers like this: